“Kami berada di jalan mati.” Perang enggan pergi walau ke mana pun pelarian Syria ini berlari

KBJM 1
Share

MATA Ahmed Al-Khairah, 42, mula berkaca. Sekilas, dia nampak bingung, barangkali tidak pasti reaksi semacam apa mahu diberi. Cuba menyembunyikan perasaannya, air matanya tumpah juga, akhirnya.

Sibuk memerhati anak-anaknya menjerit keriangan, membuka bungkusan berisi pelbagai buah-buahan daripada pasukan sukarelawan KHOM yang menziarahi flat usang mereka di daerah hitam Tripoli, Lebanon beberapa kali dia mendongakkan kepala ke langit.

Ada doa yang dipanjatkan sang ayah, tentunya.

Ahmed sebak, kali pertama merasa buah-buahan sejak perang

“Entah,” kata Ahmed apabila ditanya bilakah kali terakhir dia memakan buah-buahan. “Aku tak ingat bila kali terakhir aku merasa makan buah. Aku pun sudah tidak ingat bagaimana rasanya, hatta rasa pisang sekali pun aku sudah lupa.”

Riham, lapan tahun, yang baru berusia 45 hari semasa berlaku serangan kimia di perkampungan mereka di Ghouta, sebuah daerah di Damsyik, Syria pada 2015 yang menyebabkannya sekeluarga melarikan diri ke Lebanon, teruja meneka nama-nama buah yang dianggap mewah bagi mereka.

“Ini limau? Itu? Oh, epal namanya?” bicaranya tanpa henti dengan Mohamed Nour, rakan strategik daripada SENED yang bertindak sebagai penterjemah KHOM.

“Ini aku tahu,” kata gadis itu lagi, selepas membuka satu bungkusan lain. “Ini kiwi, bukan?” katanya lagi, menoleh kepada saya, kali ini. “Di hospital, doktor suruh aku makan kiwi tapi aku tak rasa . Doktor tunjuk gambar kiwi, tapi ini pertama kali aku menyentuhnya. Berbululah kulit kiwi ni.”

Riham bersama Pengarah Misi KHOM, Nik Marina Hussin

Dia, anak ketiga daripada lima beradik itu cukup petah di sebalik kondisinya yang seperti abang, Mohammad, 16, dan kakak, Rawan, 14, merupakan mangsa peperangan kimia. Ramai rakan sepermainan abang dan kakaknya yang mati terbunuh dalam serangan itu.

Biar pun terselamat, gas sarin yang dilepaskan di penempatan penduduk awam itu menyebabkan tiga beradik ini mengalami pelbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan paru-paru, buah pinggang, hati dan kulit, selain hilang rambut selamanya.

Paling teruk terjejas, Riham yang kini kelihatan seperti mengalami sopak apabila baru dua minggu menjalani pembedahan jantung semasa berlaku serangan. Ahmed masih ingat kejadian itu, di hari-hari akhir Ramadan, bagaimana jet menderu pada waktu sebelum berbuka puasa dan menggugurkan bom yang kemudiannya diketahui kanister berisi gas sarin yang beracun.

Racun gas sarin membuatkan Muhamed hilang rambut secara kekal

Kunjungan pada musim dingin, awal tahun ini adalah yang kedua bagi saya di flat tujuh sekeluarga ini yang terletak di tingkat atas bangunan empat tingkat di daerah yang dikawal pasukan bersenjata parti-parti politik. Ahmed dan keluarga merupakan pelarian minoriti Syria yang mendiami kem Palestin di bandar termiskin Lebanon ini yang dikelilingi samseng.

“Aku tidak tahu bagaimana serangan itu bermula,” kata Ahmed, pada pertemuan dulu. “Ia berlaku secara tiba-tiba. Kami lari ke ruang bawah tanah di bangunan dua tingkat rumah, tapi mula batuk-batuk, menangis. Sedar ia serangan gas, kami cuba menahan nafas lalu pengsan.

“Dua hari, mungkin, kami terperangkap di ruang bawah tanah itu, tidak tahu apa yang berlaku.”

“Macam mimpi!” Kegembiraan di wajah Riham dan adik-adiknya menerima katil pemberian rakyat Malaysia

Deru pesawat, mahu pun letupan bom atau teriakan manusia tidak lagi kedengaran semasa Ahmed tersedar daripada pengsan. Jelasnya, suasana sepi sekali dan rasa panik mula menguasai sebaik terlihat darah keluar daripada telinga Riham yang masih bayi, manakala jahitan di dadanya terbuka, menampakkan organ dalamannya.

Dia yang menyusup keluar daripada lubang di dinding, mahu mendapatkan pertolongan sambil mencari roti dan air, sebaliknya dikejutkan dengan ribuan mayat yang bergelimpangan. Dia sedar, satu-satunya jalan ialah membawa keluarganya segera lari dari neraka itu.

HARAPAN LAYU

Rawan hanya mampu pasrah hidup di daerah hitam Tripoli

Di Damsyik, anak-anaknya dirawat beberapa bulan di hospital bagi membersihkan gas sarin daripada dalam tubuh. Sangkanya, Riham akan mati namun ternyata bayi itu kuat. Sebaik pulih, dia menemui seseorang yang menyeludup mereka sekeluarga ke Lebanon tapi hanya untuk berdepan tragedi baru.

Selain komplikasi kesihatan dialami tiga anaknya, Ahmed berdepan ujian lagi apabila dia kemalangan, tahun lalu. Kondisi kesihatan yang makin memburuk memaksa mereka bergantung harap pada penjualan besi buruk dengan hari baik meraih RM3.60 sehari. Atau, bisa saja tiada langsung.

“Tiada pekerjaan, tiada pendapatan. Tiada apa-apa,” katanya, merenung lantai dingin di ruang depan flat yang diterangi satu mentol, hasil sambungan daripada rumah jiran yang bersimpati. Di ruang itu jugalah mereka tujuh beranak mengerekot, tidur di lantai yang sekadar berlapik kain tipis tanpa selimut atau bantal, hanya mengharapkan pelukan hangat tubuh antara satu sama lain.

“Kami di jalan mati.” Ahmed tentang masa depannya sekeluarga

“Kami berada di jalan mati,” tambahnya, menunjukkan perumpamaan tangan diletak ke dinding. “Bagaimana aku hendak menyara keluarga? Bagaimana aku hendak hendak memenuhi keperluan perubatan anak?”

Kejatuhan ekonomi Lebanon yang menyaksikan matawang Pound Lebanon menyusut teruk menyukarkan kehidupan, terutama pelarian bandar sepertinya yang meraih kurang RM180 sebulan sedangkan hutang terus bertampuk.

Impiannya hanya satu, iaitu dapat bekerja untuk menyara keluarga, namun selepas lapan tahun jalan di hadapannya terasa makin kelam.

Berbual, dia menimbang kemungkinan melakukan pekerjaan lamanya di Syria, iaitu memandu teksi tapi suara yang baru mula ceria kembali kendur apabila disentak realiti harga teksi di Lebanon yang mencecah AS$5,000 atau hampir RM23,000.

“Mustahil (beli teksi) dengan pendapatan kurang AS$1 sehari,” sampuk Mohamed Nour.

Ramadan yang kembali, tahun ini bermakna sudah lapan Aidilfitri tidak pernah diraikan keluarga Ahmed sejak berlakunya serangan gas sarin itu. Akui Ahmed, dia tidak pernah menduga bumi Lebanon hanya menjadi satu lagi medan perang buat mereka.

Kemelut terus menghambat keluarga pelarian seperti Ahmed

Pernah, dalam keadaan terdesak, dia merancang untuk membawa keluarganya melarikan diri ke Eropah, menaiki bot secara haram, biar pun mengetahui perjalanan merentasi Laut Mediteranean itu pasti mengorbankan nyawa.

Biar dia tidak menyatakannya, namun bagi ramai pelarian, malahan penduduk Lebanon sendiri, ia tidak ubah seperti cubaan bunuh diri yang dihalalkan. Tapi hanya untuk memikirkan ada tangan yang akan sudi menariknya keluar daripada kegelapan yang memerangkapnya pun tidak terdaya dilakukan Ahmed.

Kerana baginya, harapan akan hanya melukakan hati. Apa lagi yang mampu dilakukan, ujarnya, kecuali bertahan, tapi sampai bila? Ditanya, Ahmed tunduk seraya menyeka tepi matanya yang kembali berkaca.