“Rindu ini sedang membunuh aku!” Rintihan ibu tua yang terpisah dengan anak kerana perang

Nenek Roza (11)
Share

Di kaki lima jalan sebuah rumah, stor tanpa bilik sebetulnya, seorang wanita tua sedang bersyair sambil menumbuk-numbuk dadanya. Sinar matahari petang musim sejuk yang baru tiba di Jordan tidak memberi kelegaan padanya.

Dia menyeka air mata yang mengalir daripada matanya yang tidak lagi bercahaya. Syairnya tersekat-sekat lagi, dan daripada bait yang dilantunkannya ada kerinduan yang seolah tidak tertanggung lagi olehnya.

“Kau tahu, anak aku tinggalkan aku?” katanya. “Dia sudah tidak pedulikan ibunya yang tua ini.” ujar Roza Dahook, 84. Perang saudara Syria membawanya ke Jordan, mungkin sudah 10 tahun, dia mengagak. Di daerah tandus Mafraq ini, dia tinggal di ruang kecil ini bersama anak, Fatma, 49, dan cucunya, As’af, 16.

Perang telah memusnahkan kehidupannya sekeluarga dan paling perit memisahkannya dengan anak lelakinya, Asri yang juga bapa As’af yang melarikan diri ke Turki bersama anak perempuan sulungnya, Binar, 22.

“Aku tinggalkan rumah aku, harta benda aku di Syria,” katanya di dalam sinar samar matahari yang memperlihatkan wajahnya yang berkedut seribu itu. “Tapi bukan kekayaan, kesenangan yang aku mahukan. Bukan rumah agam dengan 40 bilik kami yang aku rindukan. Aku cuma mahu anak lelaki aku, tapi nampaknya dia pun sudah tidak pedulikan aku.”

Roza hanya mengulangi isi yang sama, baik dalam bicara mahu pun syair yang dilagukannya. Kejam sungguh anaknya itu kerana meninggalkan ibu tua ini tanpa khabar berita, mungkin itu yang difikirkan siapa yang mendengar.

“Ayah terpaksa tinggalkan kami,” kata As’af kemudiannya, menjelaskan keadaan sebenar. “Sebab ayah cuba mencari kehidupan lebih baik. Tapi keadaan ayah menyukarkannya akibat kecederaan selepas terkena serpihan roket di belakang badan dalam serangan yang telah mengorbankan ibu dan kami semua terpaksa melarikan diri ke Jordan.”

Rumah agam mereka di Daraa, di sebidang tanah yang luas dan dihiasi pohon zaitun dan bunga yang satu ketika menjadi tempat mereka sekeluarga berkumpul, minum teh pada petangnya dan menjadi lambang kehidupan mewah yang mereka nikmati terpaksa ditinggalkan apabila perang meletus.

Seperti nenek Roza, tegas As’af bukan kemewahan itu yang dirindukannya.

“Ayah, aku rindu separuh mati… ” ujarnya, perlahan.

“Hidup sebagai pelarian memang terlalu susah. Inilah rumah kami, sekarang satu ruang kecil tanpa bilik. Tanpa ayah, mahu pun saudara lelaki, hanya kami tiga perempuan, apa yang dapat kami lakukan?” katanya, menoleh ke arah Fatma, ibu saudaranya yang dianggap sebagai pengganti ibunya.

“Ayah, aku rindu separuh mati… ” ujarnya, perlahan.

Biar pun mereka masih berhubungan, menurut As’af, ia berlaku hanya sekali dua setahun disebabkan kos panggilan jarak jauh yang mahal, apatah lagi untuk makan saja tidak pernah mencukupi.

“Kami hidup mengharapkan ihsan orang, jiran-jiran. Jika dapat makan pun, sekali sehari. Hanya salah seorang daripada kami boleh bekerja kerana tiada yang menjaga nenek yang sakit, tapi siapa mahu mengupah kami, pelarian?”

AS’AF, gadis dengan rupa menawan ini tidak lagi bersekolah kecuali boleh membaca sedikit surah al-Quran. Ditanya apa yang diimpikannya, dia menggeleng kepala. “Saya enggan memikirkan soal impian kerana ia hanya menyakitkan,” ujarnya.

Begitu pun, apabila diajak membayangkan bagaimana jika Syria kembali aman dan dia dapat pulang ke tanahairnya dan meneruskan persekolahan, matanya segera bercahaya dan dia senyum malu, menjawab, “Nak jadi peguam.”

Fatma, sebelum itu mempersilakan saya bersama pasukan sukarelawan KHOM ke rumahnya yang menempatkan ruang tidur dengan beberapa tilam tipis. Di situ juga dapur memasak. Ada sebuah peti sejuk di sudut bertentangan, namun apabila dibuka, Fatma senyum pahit.

“Ini saja untuk kami bertahan dalam beberapa hari ini,” katanya, menunjukkan dua biji terung yang ada. Periuk di dapur, mahu pun bekas, semuanya kosong. Tiada tepung, apatah lagi beras. Bagi pelarian seperti mereka, hidup hanya untuk hari ini.

Rumah mereka tiada tandas mahu pun bilik air sedangkan kemudahan paling dekat terletak beberapa ratus meter jauhnya dengan keadaan meloyakan. Ia menyukarkan keadaan Roza yang bertongkat dan terpaksa dipapah untuk bergerak.

“Paling menyiksakan, musim sejuk,” kata As’af. “Musim sejuk lalu, apabila salji turun, kami benar-benar kedinginan di rumah, tidak ke mana kerana tiada alat pemanas, hanya bergantung pada selimut tipis. Entah berapa lama lagi kami dapat bertahan. Itu membuatkan saya makin merindui ayah.”

Bagi ibu tua seperti Roza, kerinduan yang mencengkam bukan saja mengecewakannya sehingga membuatnya marah. Kerinduan itu menjejaskan kewarasannya yang kini mulai nyanyuk walaupun cuba dinafikannya akibat terlalu memikirkan bagaimana kalau dia tidak berkesempatan menatap wajah anak lelaki kesayangannya sebelum dia menutup mata.

“Hari sudah malam, masuk ke rumah,” katanya kepada saya, beberapa kali melihat matahari yang sudah terbenam, menambah kedinginan. “Tak baik untuk anak perempuan duduk di luar pada waktu begini.”

Tiba-tiba, dia menangis dan bersyair lagi dan kembali menumbuk-numbuk perlahan dadanya, menyatakan kerinduan pada anaknya. Dia kembali mengulangi mengenai rumah agamnya, 21 bilik yang dimilikinya, ladang-ladang dan tanah luas mereka di Syria, juga perang yang memusnahkan segalanya.

TEDDY BEAR KECIL DAN SEBUAH IMPIAN YANG TERTUNDA

Fatma dan As’af yang tadinya dibawa KHOM berbelanja barang dapur, pulang dengan wajah syukur membawa bekalan makanan serta keperluan peribadi. Cukuplah, setidak-tidaknya untuk mereka   melalui musim sejuk, baru ini. Ada beberapa pakaian tebal, selain selimut diberikan untuk keluarga kecil ini.

“Untuk saya?” kata As’af, senyum lebar apabila sebuah teddy bear kecil dihulurkan kepadanya. “Kenapalah hadiah ini tidak datang masa kecil dulu? Dulu, saya selalu mengimpikan untuk ada anak patung, tak sangka dapat juga walaupun saya sudah besar.”

Mahu pulang, kami berpelukan. Siapa sangka, hadiah yang diduga biasa saja mampu memenuhi impian tertunda yang membawa kebahagiaan walaupun kami sama menyedari esok adalah suatu yang tidak pasti dan hanya Tuhan yang mengetahui pengakhiran cerita ini.

Quote:

“Tapi bukan kekayaan, kesenangan yang aku mahukan. Bukan rumah agam dengan 40 bilik kami yang aku rindukan. Aku cuma mahu anak lelaki aku, tapi nampaknya dia pun sudah tidak pedulikan aku.” – ROZA

 

“… keadaan ayah menyukarkannya akibat kecederaan selepas terkena serpihan roket di belakang badan dalam serangan yang telah mengorbankan ibu dan kami semua terpaksa melarikan diri ke Jordan.” – AS’AF

 

“Musim sejuk lalu, apabila salji turun, kami benar-benar kedinginan di rumah, tidak ke mana kerana tiada alat pemanas, hanya bergantung pada selimut tipis. Entah berapa lama lagi kami dapat bertahan..” – AS’AF

Gambar Tambahan: