[Bahagian 2] Sebutir Peluru, Orang Hitam Dan Memori Duka Somalia Yang Memburu

DSC00080
Share

SEHINGGA 1960, Somalia merupakan bekas tanah jajahan British, Perancis dan Itali. PBB memulai misi kemanusiannya pada 1993 sebelum komuniti antarabangsa menarik diri susulan tragedi dua helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh dalam pertempuran yang dikenali sebagai Black Hawk Down.
Kejadian pada Oktober 1993 itu yang dianggap antara pertempuran terhebat pada 1990an turut memperlihatkan keperwiraan pasukan tentera Malaysia dalam misi menyelamatkan 70 anggota elit AS yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu yang juga kubu kuat Jeneral Farrah Aidid.
Zaidi senyum mengingati kehebatan Ghani yang seolah tidak lut ditembak. Sambil membetulkan kopiahnya, kata anak jati Bentong, Pahang ini, “Saya selalu guna ayat, kalau nak percaya atau tak, dia (ada) tangkal besar. Tak kena (apabila) orang tembak dia. Peluru banyak ni, macam cerita Combat, (tapi) tak kena dia.”

“… saya pegang, ‘Man!’ Saya panggil dia. Saya panggil dia, ‘Man!’ Saya tahu dia dah tak ada, air mata saya mengalir sebab saya paling rapat dengan dia.”

Agak lama mereka berbalas tembakan, menurutnya, tiba-tiba daripada bahagian hadapan kenderaan dia mendengar suara Kolonel Fulvio Vezzalini yang mengetuai pasukan mereka, berteriak, “Berhenti! Jangan lawan.”
Akur dengan arahan, ketika itulah dia menyedari ketiadaan Allahyarham Azman. Cuba untuk kembali ke depan kenderaan, mencari teman baiknya itu, katanya, “Saya terasa, ‘Eh! Kaki aku macam tak ada sebelah, kenapa?’ Kebas.”
Dia mengagak kakinya mungkin terkena tembakan semasa berada di dalam kenderaan dan selepas mengibas pasir daripada seluarnya, barulah dia menyedari ia dibasahi darahnya. Begitu pun, dia terus merangkak untuk mencari Allahyarham.
“Buka pintu kereta, Azman dah lembik,” katanya, mengingati temannya itu ada kesan tembakan di bawah topi keselamatannya. “Peluru banyak (berbalas tembak). Banyak. Ada keterangan mengatakan Azman dilanyak. Bukan. Dia kena (tembak) dalam kereta, dia dah tak ada nyawa (semasa) dalam kereta lagi.
“Saya mengesahkannya sebab saya pegang, ‘Man!’ Saya panggil dia. Saya panggil dia, ‘Man!’ Saya tahu dia dah tak ada, air mata saya mengalir sebab saya paling rapat dengan dia. Semasa saya masuk skuadron, saya Prebet Trooper, dia (ketika itu, Koperal) banyak mengajar saya.”

Cuba untuk kembali ke kedudukan asalnya menembak, dia berkata, ketika itu jugalah militia Somalia mula merapati.
“Semasa (militia) sampai, ramai sangat. Dengan hitamnya (kulit), mereka seronok,” katanya, ketika itu hanya mampu melihat musuh datang sambil meraikan kemenangan apabila mereka beramai-ramai “berjoget-joget seronok, menembak rambang ke udara.”
Satu kumpulan, katanya, mendekati mendiang Ghani yang berada tidak jauh daripadanya.
“Don’t shoot my boy!” jerit Zaidi, cuba menghalang. Seorang militia mendekatinya, mengarahkannya untuk meletakkan senjata sebelum bertanyakan pegangan agamanya. “Saya kata, ‘I’m a Muslim.’ ‘No,’, katanya, ‘you Christian, you Christian’ dengan loghat (Afrika) dia tu. ‘No,’ saya kata, ‘All Malaysian soldiers religion are Muslim.” Dia kata, ‘You read the Quran?’ ‘Yes,’ saya kata, (apabila) saya syahadah (mengucap) dia ludah-ludahnya saya.”
Majoriti daripada 10 juta penduduk Somalia, ketika itu, berfahaman Islam Sunni.
Ghani, seingatnya, masih memegang senjata semasa didekati militia. Dia, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mendiang yang bukan beragama Islam juga disoal tentang agamanya sebagaimana dia ditanya, namun malangnya ditembak.
“Di kepala (ditembak), point blank,” kata Zaidi, suaranya kedengaran bergetar, menahan sedih.
Sedang dia sendiri, ibarat nyawa di hujung tanduk, mendengar berdas-das tembakan dilepaskan ke udara, mengiringi sorakan kegembiraan yang turut disertai penduduk kampung. Ditawan musuh, dia “disepak terajang” beramai-ramai sehingga “tali topi keselamatan putus, baju koyak.”
“Yang pijak belakang (badan), lain. Yang tanya seorang saja, yang ganas sangat tu,” katanya, mendedahkan tindakan ganas militia biasanya didorong oleh pengambilan kaad, iaitu sejenis daun yang memberi rasa khayal.
“Sebab itu, mulut sentiasa berbuih (apabila) makan benda itu, daun kaad,” jelasnya.
Tembakan, bagaimanapun katanya tiba-tiba terhenti apabila muncul sebuah kenderaan milik satu badan bukan kerajaan (NGO). Mungkin kerana khuatir wajah dicam sukarelawan, sekali gus menjejaskan pemberian bantuan kepada puak mereka menyebabkan “yang bersenjata (api) lari, tinggallah perempuan, orang tua-tua, budak-budak muda yang pegang kayu.”
Biarpun tidak diapa-apakan oleh penduduk kampung, katanya, mereka memandang dengan benci.
“Tengok muka (mereka) tahu dia benci kita,” katanya, percaya kebencian memuncak selepas insiden Black Hawk Down, selain serangan oleh AS, sebelum itu. Namun NGO itu dihalang membantu, sebaliknya militia menggunakan “Hilux buruk, bawa saya dengan dua mayat” ke sebuah kampung.
Ujarnya, dia dibawa ke sebuah bangunan, dipercayai klinik, yang menempatkan beberapa katil bujang tanpa tilam. Dia mengadu mengenai kesakitan yang mula dirasai kepada seorang lelaki yang berseragam doktor, tidak menduga trauma yang bakal mengekori.
Ditanya, dengan nada gelihati, dia bercerita, “Ada satu perempuan mengandung, dia (doktor) cabut drip (daripada lengan wanita) terus bubuh pada saya. Di sana AIDS kuat (kes tinggi), sebelum pergi (UNOSOM) kami diingatkan kalau (kena jangkitan) AIDS, buang tentera.”

“Sana perang pelik. Orang ni perang, orang tu kejar. Belakang ada anak bini dia, tukang rampas barang,”

Sambil mengerang kesakitan, dia melihat ramai penduduk di luar mengelilingi bangunan, memerhati sambil mengejek-ejeknya. Jadi tebusan, tidak mengetahui nasib pasukan lainnya, hatinya merintih, “Ya Allah! Aku ini apa kesudahannya?”
Hari beransur gelap, katanya, semasa diberitahu dia akan dihantar ke satu tempat. Dia tertanya sendiri adakah dia juga akan berakhir sebagai sekujur tubuh kaku, tapi rupa-rupanya mereka semua yang diculik secara berasingan akan dilepaskan. Salah seorang rakan yang terselamat, semasa ditawan, bercerita bagaimana dia diarah solat bagi membuktikan mereka beragama Islam.
“Sana perang pelik. Orang ni perang, orang tu kejar. Belakang ada anak bini dia, tukang rampas barang,” katanya, ketawa lagi. Satu yang lumrah apabila puak yang menang akan mengambil alih kampung, termasuk kediaman. Cuma jangan terkejut kalau minggu depannya, orang lain pula menduduki kampung itu.
“Motor-motor, keldai-keldai semua dirampas habis,” katanya, menceritakan perang antara puak yang biasanya membabitkan seluruh keluarga, iaitu “perang anak beranak” dan menjadi antara punca mengapa Somalia terus terperangkap dalam konflik tidak berkesudahan.
“Itulah antara negara yang sukar diamankan,” ujarnya, mengingati laporan akhbar yang merujuk Somalia, “satu-satunya negara yang memalukan PBB”, selain butir pertengkaran rakan yang antara lain mempersoalkan militia, “Kau kata kau jihad. Jihad apa (kalau) kau berperang sesama Islam.”

EduDream

Abdullah Reminds us that: Somewhere in the world, an orphan like him searched the garbage dumb or clothes and shoes to wear. You can help

Read More