[Bahagian 1/3] Ada Apa Dengan Sebuah Kunci, Sekeping Kertas, dan Segenggam Tanah?

“Ini tanah Palestin.”
Share

Oleh Zurina Waji
Foto Saiful Chin, KHOM MALAYSIA
20 April, 2026

BAHAGIAN 1-1:

“AKU tidak pernah tidur dengan aman sejak aku meninggalkan tanah air,” kata Umm Haitham, perlahan, sambil titisan air dari dinding yang bocor berirama memasuki tong putih di tengah ruang tamunya, bagai mengiakan apa yang terbuku di dada.

“Aku menangis untuk rakyat Palestin.”

Pada pertemuan malam Ramadan yang dingin itu, di rumahnya di Burj Al-Barajneh, iaitu sebuah kem pelarian Palestin di pinggir kota Beirut, Lebanon, wanita yang sudah melangkaui usia 80 tahun ini tidak menyembunyikan kelelahan yang dirasainya.

Bukan semata bau lembab yang menjelaskan kehadiran kulat dan cat dinding yang mengelupas, selain bocor di sana sini. Atau nafas yang sesak di tengah kepadatan kem seluas cuma 1km persegi itu dengan hampir 40,000 orang – tiga kali ganda berbanding keupayaannya sejak dibuka 78 tahun lalu.

“Di kejauhan, lampu neon Burj Al-Barajneh menjadikan malamnya ibarat blok permainan Lego, bertimpa antara satu lain. Tapi realiti siangnya menampar dengan hakikat bahawa matahari pun sukar meloloskan cahayanya di ghetto dengan puluhan lorong kecil yang bersimpang siur itu. “

“Kami sengsara, dan tiada yang mengasihani kami,” katanya lagi, memandang saya dan beberapa rakan sukarelawan KHOM MALAYSIA yang menziarahinya, malam itu, dengan matanya yang berkaca.

Masih, dalam nada bergetar itu, dia menuturkan, “Alhamdulillah, tapi Allah Maha Agung dan Dialah yang berupaya mengurniai kami dengan kemenangan. Alhamdulillah. Alhamdulillah.”

Umm Haitham, atau nama sebenarnya, Nazmeya Ali Kadoura adalah antara generasi asal Nakba yang masih hidup selepas melarikan diri, bersama keluarga, ke Lebanon susulan pengusiran paksa dan pembersihan etnik Arab Palestin dari tanah air mereka oleh militia Zionis pada 1948.

Apa itu Nakba?

Asal perkataan Arab yang bermaksud malapetaka besar, ia merujuk pada Perang Palestin-Israel 1948. Biro Perangkaan Pusat Palestin merekodkan kemusnahan 531 bandar dan kampung, serta lebih 70 pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan lebih 15,000 penduduk Palestin.

Sejarawan Palestin-Amerika, Profesor Rashid Khalidi, menerusi The Hundred Years’ War on Palestine: A History of Settler Colonial Conquest and Resistance, 1917-2017 pula menyebut, menjelang 1949, hanya satu perlima daripada populasi Arab Palestin yang tinggal, iaitu kira-kira 160,000 orang.

Seingat Umm Haitham, dia baru berusia sekitar dua tahun setengah ketika berlakunya Nakba.

“Kami berasal daripada Al-Kabri dan perang meletus di Al-Kabri. Di negara aku, anak ayam berumur dua hari pun tiada yang hidup, apatah lagi anak Adam. Seorang wanita hamil tertinggal dan mereka (militia Israel) membunuhnya,” katanya, mengingati kekejaman Zionis.

Burj Al-Barajneh adalah antara 12 kem pelarian Palestin yang diiktiraf UNRWA di Lebanon. Negara miskin ini mencatat jumlah pelarian tertinggi di dunia per kapita, iaitu lebih 250,000 orang yang juga waris Nakba yang dinafikan hak untuk kembali sejak 1948.

Mood berubah menjadi ceria, terserlah pada matanya yang bersinar apaila dia yang ditanya mengenai Al-Kabri, menceritakan kampungnya itu yang berada di wilayah Gallilee, di Timur Laut Acre, terkenal dengan Ainil Hasal, iaitu telaga mata air yang sememangnya banyak terdapat di Palestin.

“Bapanya adalah antara orang kaya di Al-Kabri,” kata Bassel dari NGO Takaful yang berpangkalan di Lebanon dan merupakan rakan strategik KHOM MALAYSIA, sekali gus menjadi penterjemah, memberitahu apa yang diceritakan Umm Haitham, sebelum itu.

Mereka hidup senang. Katanya, mereka ada tanah, ladang, dan kami menanam serta memberikannya kepada orang.

“Katanya, pada masa itu, tiada siapa memerlukan apa-apa kerana orang yang memiliki tanah akan memberi kepada orang yang tiada. Katakan saya ada (pokok) epal, oren atau apa saja, manakala seorang lain mempunyai gandum dan benda-benda lain, jadi dia akan memberinya, saya akan memberinya, semua orang hidup,” katanya.

Suasana, bagaimanapun berubah agak sugul apabila Bassel menambah, “Tapi apabila penceroboh (Israel) datang, semua itu ditinggalkan.”

Jadi pelarian, berpindah dari satu kem ke satu kem, bukanlah kehidupan yang diinginkan Umm Haitham, satu-satunya yang masih hidup antara dia lima beradik selepas mereka lebih dulu kehilangan kedua-dua orang tua.

“Satu lagi yang dia sebut,” kata Bassel, menyambung apa yang diberitahu Umm Haitham, “Bapa saya meninggalkan kunci, dokumen, semua barangan di tempat (rumah di Palestin) kerana kami menyangka kami akan kembali selepas tujuh hari.

“Seminggu (kemudian), kami akan kembali. Ini yang dberitahu oleh tentera British kepada kami. Subhanallah! Tujuh hari itu tidak juga habis-habis sampai sekarang, kami masih menunggu, Subhanallah!”

KISAH AL-KABRI

Dihuni sekitar 400 penduduk, kebanyakannya petani, sebelum Nakba ianya dipenuhi pohon zaitun, buah-buahan dan mulberi. Kaya dengan mata air, ia juga menempatkan tapak arkeologi Tel Kabri, peninggalan Zaman Gangsa, kini berdekatan kibbutz moden, Kabri, di utara negara haram Israel.

Moshe Carmeli, menurut sejarawan, Saleh Abdel Jawad, memberi arahan “untuk menyerang dengan matlamat menakluki, membunuh lelaki dewasa, melakukan kemusnahan dan membakar.” Serangan oleh Brigade Carmeli itu pada malam 20 – 21 Mei 1948 dilakukan menerusi Operasi Ben-Ami, iaitu sebahagian daripada Plan Dalet yang dirancang pemimpin Zionis.

Baca sambungan kisah ini di sini >> (hyperlink) Bahagian 2