Oleh Zurina Waji
Foto Saiful Chin, KHOM MALAYSIA
20 April, 2026
BAHAGIAN 1-2:
Sedang berbual, Abu Khalid, juga dari Burj Al-Barajneh yang mengatur pertemuan kami dengan Umm Haitham, menunjukkan sebuah kunci lama, serta sekeping geran miik keluarga seorang waris Nakba yang diamanahkan untuk menunjukkannya kepada kami.
“Kami semua menyimpannya,” sampuk salah seorang anak perempuan Umm Haitham apabila ditanya mengapa masih ada yang menyimpan kunci rumah keluarga mereka di Palestin biarpun selepas sekian lama.
“(Tapi) Datuk aku meletaknya di pintu, di bawah batu.”
Melihatnya, bergilir-gilir memegang kunci buruk yang membuktikan kewujudan bangsa Arab Palestin di tanah yang menaungi Masjid Al-Aqsa itu yang menyisipkan peristiwa Isra Mikraj dalam sirah Nabi Muhammad SAW, terasa masa seolah terhenti seketika.
Kami cuba membaca isu kandungan di dokumen yang agak kekuningan, rupa-rupanya geran pemilikan rumah dan tanah di Tarshiha, Palestin, yang jelas tertera dikeluarkan oleh Kerajaan Uthmaniyah.
“Kertas ini (harus) lebih daripada 100 tahun, sebelum 1918 kerana ia dikeluarkan oleh Kerajaan Uthmaniyah,” kata Bassel, yakin, sambil cuba menyimpulkan beberapa perkataan yang sukar dibaca. “Ada kemungkinan ia (dikeluarkan) pada 1912.”
Abu Khalid yang memerhati, mengiyakan dan berkata, “Ia sejak Empayar Uthmaniyah, sebelum Mandat British lagi.”
KERAJAAN UTHMANIYAH
Sebuah khilafah Islam di wilayah Anatolia, Turki, kerajaan ini yang muncul pada akhir abad ke-13 ini menjadi penaung umat Islam selepas kejatuhan khilafah Bani Abbassiyah. Mencapai kemuncaknya pada abad ke-15 dan ke-16, ia diperintah 36 sultan.
Palestin, asalnya merupakan sebahagian daripada wilayah Syria, berada di bawah pemerintahan empayar ini selama 401 tahun, iaitu sejak 1516, serta didiami penduduk Islam, Kristian dan Yahudi.
Menjelang akhir abad ke-19, kerajaan ini mulai melemah sebelum akhirnya runtuh selepas Perang Dunia Pertama yang menyaksikan penguasaan British pada 1917.
“Tapi selepas bertahun-tahun, mereka mengatakan ia (dokumen) tidak penting,” kata Bassel, kesal hak penduduk rakyat Palestin yang bukan saja telah dirampas, malah dinafikan sehingga kini dengan penubuhan negara haram Israel.
Umm Haitham yang memerhati, mengejutkan kami apabila dia membuka genggaman tangannya dan berkata, “Ini tanah Palestin.”
Sebungkus kecil tanah, coklat bercampur butir tembaga, jelas di balik plastik lut sinar yang tebal. Kami terdiam, seketika, sebelum bergilir-gilir menggenggam bungkusan kecil itu, seolah-olah baru menemukan harta yang disembunyikan.
“Seseorang pulang ke Palestin dan membawa balik (tanah) dengannya. Ini dari Kabri,” kata Umm Haitham, menceritakan bagaimana dia meminta dibawakan sedikit tanah dari kampungnya yang kini terbiar, tidak lagi berpenduduk malah tidak juga dibangunkan selepas dirampas oleh Zionis.
“Tanda ingatan,” katanya apabila ditanya mengapa segenggam kecil tanah itu begitu bererti baginya.
“Kami mahu pulang (ke tanah air), untuk kembali, Insya-Allah. Masih ada lagi anak-anak muda (Palestin), dan kami akan kembali.”
NOTA:
Temubual diadakan beberapa hari sebelum Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas Iran. Susulan serangan pada 28 Februari itu, Hezbollah menyerang Israel pada 2 Mac yang membalas dengan membedil Beirut, antaranya. KHOM MALAYSIA yang berada di Beirut, ketika itu, berjaya menaiki penerbangan keluar ke Istanbul, Turkiye.
Pada 8 April, Israel melancarkan serangan terbesarnya dengan melancarkan 100 roket dalam masa 10 minit di penempatan penduduk awam, termasuk di Beirut, di sebalik gencatan senjata diumumkan AS.
Klik untuk baca tentang Krisis Timur Tengah





