“Lari sekarang atau mati ditembak!” Ibu Bawa 6 Anak Kecil, Lebih Sebulan Rentas Zon Perang ke Sempadan Untuk Selamatkan Diri

Hannah Story (2)
Share
Hannah bersama anaknya Abdul Rahman

“AKU suruh anak-anak menutup mata. Aku tak nak mereka melihat mayat-mayat yang bergelimpangan. Jadi, kami lari menyelamatkan diri dengan saling berpegangan tangan dan baju, antara satu sama lain. Sepanjang kami lari itu, aku larang mereka membuka mata. Aku tak mahu pandangan ngeri itu menghantui anak-anak aku sepanjang hayat mereka nanti.”

Hannah, 39, menyeka air matanya kala mengimbau kejadian pada 2013 itu yang memaksanya tujuh beranak meninggalkan rumah mereka di daerah Al-Midin di Syams yang mula dikuasai pemberontak Syiah Iran, sekali gus memburukkan lagi konflik perang saudara Syria di bawah pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.

Kesedihannya merenggut hati. Sambil memandang wajahnya, fikiran saya menerawang, cuba membayangkan wayang perang yang pernah ditonton dan tahu saya tidak mungkin mampu melalui apa yang dilaluinya. Saya lebih daripada tahu bahawa Tuhan hanya menguji apa yang mampu dihadapi hambaNya.

Berkorban apa saja demi anak-anak

Dan di balik keperitan itu, perempuan yang berada di depan saya, ketika itu membiaskan kekentalan jiwa seorang ibu yang berusaha bertahan, menempuh ujian getir ini demi kasih terhadap anak-anaknya.

Kematian suami semasa dalam tahanan, menurutnya kerana disiksa tentera pemerintah ibarat pedang yang menghiris hatinya. Suami, A’taf Al-Hasan, 35, katanya mati dengan keadaan tubuh yang kurus, lebam dan bercalar balar selain kesan ikatan pada pergelangan tangan.

Broker hartanah itu pertama kali ditahan dalam operasi dilancarkan polis Syria yang memasuki rumah penduduk dan menangkap penghuni lelaki dan dibawa ke penjara dengan keadaan muka ditutup. Dibebaskan tujuh bulan kemudian dalam keadaan lemah akibat disiksa, suaminya ditangkap sekali lagi empat bulan selepas itu.

“Dan dia pulang kemudiannya tetapi sebagai mayat,” kata Hannah, sebak.

Di flat daif di Irbid, tempat Hannah dan 12 ahli keluarganya berlindung

Saya melihat kedaifan yang menyelubungi kehidupan Hannah, hari ini. Pernah punya rumah, tanah, hidup mewahnya di Syria tinggal kenangan. Di Irbid, Jordan, bau lembab meliputi segenap ruang flat yang didiami kini bersama 13 ahli keluarganya, termasuk menantu dan cucunya.

Kecuali sofa dan permaidani murah di ruang tamu, tiada apa di rumah sewanya itu. Daif, dinding usang dengan cat berkopek adalah pemandangan lumrah sebahagian besar kediaman pelarian bandar seperti Hannah dan keluarga.

“Tidak,” katanya apabila ditanya adakah dia pernah terfikir kehidupanya akan berubah sebegitu rupa, satu hari nanti. “Tidak, tidak, tidak.”

Dia membetulkan duduknya di sofa merangkap tilam yang terbentang di lantai. Saya melihat kaki dengan tumitnya yang pecah itu, membayangkan bagaimana dia menggendong anak bongsunya, Ghuffran yang berusia tiga bulan sambil membawa abang dan kakaknya menyelamatkan diri.

Berkaki ayam, mereka keluar rumah sehelai sepinggang. “Kami disuruh lari pada masa itu juga sebelum tentera datang,” imbaunya lagi. “Sebab anak-anak masih kecil, kami diberi amaran supaya lari segera dan saya mendapat tahu kemudiannya, kalau ada yang sudah berumur lebih 12 tahun akan ditembak.”

Juga, saya tidak dapat membayangkan kepayahan dilalui Hannah dan anak-anaknya yang berjalan kaki selama sebulan menuju ke selatan Syria untuk merentasi sempadan ke Jordan. Atau, bagaimana mereka berhimpit bersama 50 lain di dalam lori dengan muatan kambing, dari Daraa, Syria menuju sempadan dalam keadaan bimbang menjadi sasaran penembak tepat tentera Syria.

Dari sempadan, dia dan anak-anaknya berjalan lagi lebih sebulan sebelum tiba di kem pelarian Zaatari. Dibuka pada Julai 2012, Zaatari yang masih didiami 80,000 pelarian adalah antara kem pelarian terbesar di dunia yang menjadi simbol krisis pelarian Syria.

Pelarian Syria berjalan kaki merentasi sempadan

Saya sebetulnya tidak menyangka akan mendengar pengakuannya berada dalam senarai orang dikehendaki yang dikeluarkan tentera Bashar. Ditanya, dia mengandaikan ia bagi mengelaknya mendedahkan rahsia di sebalik kematian suaminya yang memungkinkan masyarakat luar mengetahui apa sebenarnya berlaku di Syria.

Pendedahan itu mengesahkan tentang bagaimana perang Syria yang berlarutan didorong  penguasaan puak Syiah di daerah Sunni dan bukan rahsia pula Bashar sendiri merupakan pengikut minoriti Syiah Alawit. Dia pernah diberitahu punca penangkapan suaminya “sebab kau Islam (Sunni)” yang akhirnya, memaksanya lari setelah pemberontak Syiah Iran mengambil alih dan mewujudkan penempatan baharu Syiah yang dinamakan An-Nur.

KHOM menyantuni pelarian seperti Hannah sekeluarga

“Semasa tentera memulangkan kad pengenalan suami, aku diarah untuk memaklumkan kematian suami aku tiada kaitan dengan tentera, dan aku diarah mengakui ia perbuatan pengganas atau aku tidak dapat menuntut jenazah suami. Jadi, aku terpaksa akur,” katanya.

“Semasa tentera kembali ke rumah kami, aku sudah pun lari bersama anak-anak. Rupa-rupanya nama aku dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki untuk mengelak kami meninggalkan Syria. Tapi nama keluarga aku disalah eja dalam senarai semasa pemeriksaan tentera di sempadan dan kerana kesilapan itu aku dapat merentasi sempadan.”

Mendengar sendiri cerita daripada mereka yang mengalaminya membuat perasaan bercampur baur. Pengalaman bertemu pelarian dan mangsa perang dalam banyak misi kemanusiaan bersama KHOM menyedarkan saya bahawa mereka hanya mahu suara mereka didengari dunia.

Sangat berhati-hati untuk tidak membuka luka lama dan ia suatu yang bukan mudah, saya menjulang penghormatan dalam usaha meraih kepercayaan sambil meletak tugasan sebagai wartawan di hadapan, selain keyakinan bahawa mangsa perang seperti Hannah dan anak-anaknya hanya boleh dibantu apabila dunia mengetahui keadaan sebenar.

Sudah hampir 10 tahun sejak Hannah sekeluarga meninggalkan Syria namun dunia perlu menyedari bahawa kehidupan tidak juga bertambah baik buat pelarian sepertinya. Ditanya tentang harapannya buat masa depan anak-anaknya, dia berkata, “Paling penting keamanan anak-anak.”

Perang yang berlanjutan sejak 2011 menyebabkan jutaan rakyat Syria menjadi pelarian

Luka perang Syria masih dirasai anak-anaknya, terutama anak sulungnya, Hannan, 20. “Masa di Syria, jalanan dipenuhi mayat. Hannan terpaksa lalu, memijak mayat,” katanya. “Pernah, semasa sambutan Hari Kemerdekaan Jordan, kapal terbang (pertunjukkan tentera) melewati rumah, terbang rendah dan terkejut, dia meninggalkan anak yang sedang disusui, berlari bersembunyi di tandas kerana nyata perang masih membuatnya trauma.”

Ghuffran, kanak-kanak pelarian Syria tajaan KHOM menerusi program EduDream

Ghuffran, kini 9 tahun, yang menghampiri ibunya sambil membawa buku membuat Hannah senyum. Matanya bercahaya, senyum mendengar anak perempuannya itu membaca. Sejak meletusnya perang Syria, dia mengakui baru enam bulan inilah dia melihat ada harapan baharu buat hidup mereka, iaitu sejak Ghuffran bersama abangnya, Abdul Rahman, 11, menyertai program Karisma EduDream, sebuah projek pendidikan oleh KHOM.

Anak-anak yatim Karisma EduDream kini ada impian dan harapan

Tak hanya dapat bersekolah, menerusi kelas yang diadakan tiga kali seminggu, anak-anak pelarian miskin dan yatim yang ditaja KHOM hasil sumbangan rakyat Malaysia juga dibekalkan makanan. Dua beradik yang dulunya buta huruf kini adalah antara 15 pelajar yang dipilih menyertai program perintis EduDream yang dilancarkan awal tahun ini.

 

 

Amira, sukarelawan KHOM bersama Ghuffran

“Tiada masa depan,” kata Hannah, mengakui tidak lagi menaruh harapan sebelum penyertaan anak-anaknya dalam EduDream yang turut mendedahkan mereka kepada komunikasi asas dalam Bahasa Inggeris. “Selama ini, mereka tidak buat apa-apa, duduk di rumah saja. Mereka tak tahu apa-apa, tak tahu menulis tapi Alhamdulillah, macam Abdul Rahman sudah boleh menulis. Daripada seorang yang canggung, dia sudah pandai tersenyum dan ada keyakinan bergaul dengan orang.

“Dan aku sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberikan aku senyuman anak-anak aku, mengubah kehidupan mereka dengan bantuan kalian,” katanya.

Ada rasa bangga menyelinap kala Hannah berkongsi, “Abdul Rahman mahu jadi juruterbang. Ghuffran mahu jadi doktor kanak-kanak. Lepas dia masuk ke sekolah itu (EduDream), apabila pulang dia beritahu ingin jadi doktor, mahu merawat pesakit secara percuma. Umurnya baru 9 tahun, tapi fikirannya sudah matang.”

Untuk punya harapan dan impian, bagi ramai pelarian, hanya akan melukakan.

Senyuman Abdul Rahman hadiah istimewa bagi ibunya, Hannah

“Ingatkan kami akan berada di Jordan sebentar saja,” kata Hannah. “Ingatkan duduk sebulan dua saja. Ingatkan kami akan kembali ke Syria, tidak sangka kami tidak balik-balik juga. Tak, aku tak tahu bila kami akan dapat pulang, buat masa ini. Semua (pelarian) berharap mahu pulang, tapi rasanya tiada harapan.”

Ghuffran, kali pertama shopping, hasil sumbangan rakyat Malaysia

Namun Hannah juga ada sebab untuk merasa bahagia kini apabila “cukuplah bahawa kalian sudah memberikan senyuman kepada anak-anak aku.” Ya, ihsan berupaya menghidupkan sebuah pengharapan. Ia membuat hati berbunga biar pun sukar menepis rasa gusar memikirkan ihsan yang semakin mahal, hari ini.

Jadi, mungkinkah berubah? Dan saya suka untuk memilih bersangka baik dengan Tuhan.

If you wish to know more about the EduDream children, click on the links:
The Suffering of Syrian Refugee Orphans
Saving Syrian Orphans Through Education
Kembalikan Zaman Kanak-Kanak Pelarian Syria
Syrian Refugee Orphans in Need of Educational Aid