KUALA LUMPUR, 29 Julai: Sebanyak 2,400 tan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia berjaya menembusi Gaza awal pagi semalam melalui pintu masuk Jambatan Raja Hussein di Jordan.
Penghantaran tersebut merupakan kejayaan pertama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia merentasi sempadan sejak Israel menutup semua laluan masuk ke Palestin pada 2 Mac lepas.
Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) Nik Marina Hussin berkata bantuan itu digerakkan melalui konvoi 60 trak dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF), dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP) dan World Central Kitchen.