“… saya rasa tangan saya semua orang (berkulit hitam) pegang. Badan mereka tak besar, tapi (apabila menyerang) ramai, ganas dan (mereka) tak fikir dah, kalau (mahu) bunuh, dia bunuh.”
“SAYA nampak macam mana Azman putus tangan. Saya nampak macam mana Ghani kena tembak. Saya nampak sentiasa,” kata Staf Sarjan Zaidi Hanafiah yang selama hampir 30 tahun diburu mimpi ngeri kerana trauma berikutan serangan militia Somalia yang mengorbankan nyawa dua rakannya.
Berkhidmat di bawah panji keamanan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu, ketika itu, bekas komando ini tidak menduga rondaan bagi pengumpulan risikan itu akan meninggalkan titik hitam dalam hidupnya.
Sebutir peluru menembusi sendi, di antara tulang punggung dan paha yang masih berada di dalam tubuhnya menjadi tanda mata paling pahit pernah diterima sejak menyertai Rejimen Gerak Khas (RGK) pada 1979, memaksanya menanggung derita sepanjang hayat.
“Orang hitam pegang (saya) tak boleh buat apa… yang kita boleh, apa dia? Gigit!” katanya, menceritakan antara mimpinya. “Trauma, lama saya trauma. Paling teruk badan jadi kurus sebab nak tidur tak boleh.”
Pernah, menurutnya, dia melawan “orang hitam” di dalam mimpi, namun apabila terjaga daripada tidur rupa-rupanya yang ditumbuk adalah isteri yang berbaring di sebelahnya.
“Saya juga gigit (isteri) sebab saya rasa tangan saya semua orang (berkulit hitam) pegang,” katanya pada pertemuan di kediamannya di Putrajaya. Sesekali kedengaran suara cengkerik sayup mencelah sambil dia menambah pernah sekali, dia yang terjaga dalam ketakutan selepas bermimpi diburu militia bersenjata mendapati rupa-rupanya isteri yang disinggung.
“Badan mereka tak besar, tapi (apabila menyerang) ramai, ganas dan (mereka) tak fikir dah, kalau (mahu) bunuh, dia bunuh.”
Biarpun kini pada usia 68 tahun, tragedi berdarah pada 1994 itu masih jelas terbayang di ingatannya.
Bersama sepasukan 13 anggota, temasuk daripada Itali dan New Zealand, Zaidi meninggalkan markas Operasi PBB di Somalia (UNOSOM) di Universiti Mogadishu dengan tiga pikap. Dia di pikap terakhir, duduk bersebelahan Allahyarham Staf Sarjan Azman Mohd Tahir dari Grup Gerak Khas (GGK) yang memandu, hari itu, yang turut dinaiki mendiang Koperal Ghani anak Binyoi dari 6 Renjer.
“18 Julai 1994,” katanya, mengingati bagaimana pikapnya diarah berpatah balik selepas konvoi tersasar ke luar sektor. “Patah balik dalam masa 10 minit jugalah. Apabila kita buat pusingan U, kita lalu satu lopak air. Jalan dah melencong, di situlah mereka (militia) balun kita.”
Pada awal ketibaannya di Somalia, dia terkejut melihat kawat duri membaluti trak yang rupa-rupanya bagi mengelak dinaiki penduduk yang rata-rata dalam keadaan lapar di negara bergolak Afrika itu yang ketika itu, bukan saja sedang berdepan perang, malah penularan wabak AIDS.
Di tengah bencana ekonomi, negara dengan muka bumi kering itu menyaksikan perebutan kuasa antara Jeneral Mohamed Farrah Aidid dan Presiden interim, Ali Mahdi selepas Presiden Siad Barre di negara yang dulunya dikenali sebagai Republik Demokratik Somali itu digulingkan pada 1991.
Ketegangan yang turut dicetuskan konflik antara suku itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan mengorbankan banyak nyawa, sama ada akibat kebuluran atau perang yang menyaksikan penubuhan UNOSOM yang disertai pasukan pengaman daripada 14 negara, termasuk Malaysia.
Tan Sri Aboo Samah Aboo Bakar, ketika itu Jeneral, yang disegani puak Somalia merupakan Komander UNOSOM II semasa Zaidi bersama satu terup GGK daripada Kompeni Keselamatan ditempatkan di Mogadishu, menyusuli kedatangan 850 anggota pasukan Batalion Malaysia (MALBATT).
“Sebab pecah cermin, tangan (Azman) putus! Kulit, tulang nampak dengan darah menyembur dekat saya. Selepas itu, Azman kata, ‘Aku dah kena, Di.’ Itu perkataan dia… yang terakhir saya dengar,”
Santai malam itu, Zaidi yang berkopiah putih kembali mengimbau, “Mereka tembak betul sebelah depan dan sebelah kiri. Azman (sebelah) kiri, dia memandu. Saya sebelah kanan, budak tiga orang di belakang. Saya nampak kereta depan terhenti. Saya kata, ‘Man, kereta terhenti. Tembaklah.’
“Baru tembak saja, cermin kereta pecah, tap! Kena tangan Azman, putus!”
Dia mengakui tergamam walaupun berpengalaman bertempur dengan komunis di tanah air.
“Sebab pecah cermin, tangan (Azman) putus! Kulit, tulang nampak dengan darah menyembur dekat saya. Selepas itu, Azman kata, ‘Aku dah kena, Di.’ Itu perkataan dia… yang terakhir saya dengar,” tambahnya, mata mula berkaca.
Segera, dia mengambil alih pemanduan, membawa pikap yang masih bergerak ke kanan jalan, merapati tebing tanah.
“Bila dia (Azman) kena sini (tangan kanan), ‘Aku dah kena, Di. Aduh! Aku sakit.’ Saya sempat pegang, tarik (gear), ‘(jerit) Man, keluar Man! Peluru banyak ni.’ Peluru berterabur, memang gelap (suasana) dengan habuk pasir. Bila saya tarik (gear) tak lepas, saya terjatuh.
“Saya merangkak ke belakang kereta, budak (anggota) tiga orang dah melompat keluar. Ghani dan dua renjer dia dah melompat keluar. Apabila saya keluar, saya ke tayar belakang, saya pun berbalas tembak. Masa itu, saya nampak Ghani (pun) menembak,” katanya.