“AKU AKAN KERJA DI LADANG SAMPAI KAYA!” Impian Luka Khaled, 13, Anak Pelarian Syria

Khaled (1)
Share

“AKU nak ada banyak duit!” kata Khaled, 13, penuh semangat sebelum sorakan beberapa rakannya membuat dia tersipu malu.

Itu impian besar remaja bermata coklat ini.

Dan dia tidak ragu-ragu menyatakannya kala ditanya. Boleh saja menganggap dia semborono memberikan jawapan namun bagaimana kalau hanya memikirkannya mampu buat dia bahagia walau seketika?

Kerana punya impian bermakna anda harus siap untuk dilukai.

Kerana kenyataan pahit bagi anak pelarian Syria seperti Khaled yang kini tinggal di khemah di kem pelarian Ali Abu Hurah di daerah padang pasir Mafraq, Jordan berdekatan sempadan Jordan-Syria, hidup adalah suatu yang tidak pasti.

Di kem berkenaan, Khaled sebagaimana ramai kanak-kanak pelarian lain adalah buta huruf. Juga, bagaimana mungkin untuknya bersekolah sedangkan sudah bekerja ladang seawal usianya enam tahun.

“Aku tak pernah bersekolah tapi aku tak menyesal tak bersekolah mahu pun tidak boleh membaca,” ujarnya, masih senyum.
Ditanya bagaimana dia mahu mendapatkan banyak duit sekiranya tidak bersekolah, pantas dia menjawab, “Aku akan kerja di ladang sampai kaya!”

Dia yang kini bekerja di ladang zaitun, ketawa apabila disorak lagi oleh rakan-rakannya, namun matanya menyatakan sebaliknya. Ada cerita duka di matanya yang sedikit berair, barangkali hatinya tersentuh apabila menyedari buat pertama kalinya dia ditanya tentang impiannya.

Khaled dilahirkan di Riff Hamam, Syria. Dia masih kecil ketika keluarganya melarikan diri akibat perang yang meletus. Dia tidak tahu mengenai dunia luar kecuali kehidupan sukar di kem padang pasir dan ladang berdekatan yang dilihat sebagai satu-satunya sumber buat meneruskan hidup.

Dia yang mulanya tampak serba salah apabila diminta menunjukkan tangannya, perlahan menghulur. Dia hanya memerhati apabila tangannya yang kasar itu diusap. Ada sebak dalam bicaranya apabila seolah mengadu, “Sebab kerja ladang, tangan jadi kasar. Kadang luka-luka.”

Tanpa diminta, dia menunjukkan luka lama dan baharu di tapak tangan dan jari yang hampir kematu. Dia juga menunjukkan lengan jaketnya yang koyak ketika memetik zaitun. Rakan lainnya diam, sebelum salah seorang menunjukkan cara mereka melorotkan buah zaitun sehingga kadang membuat tangan yang tidak bersarung luka.

Buruh kanak-kanak ini dibayar 1 Dinar Jordan atau RM6.32 untuk sekotak zaitun yang berhasil dipetik. Kerana soal mengisi perut adalah soal pokok yang lebih diutamakan berbanding ke sekolah, berimpian hanyalah mimpi yang mustahil.

Diduga bekerja di ladang tentunya memenatkan, Khaled yang mendengar, menganggukkan kepala. “Ya, penat kerja ladang,” akuinya seraya menambah, “tapi kalau aku tak kerja macam mana nak hidup.”

Suasana yang awalnya riuh, sepi seketika. Cuba untuk tidak menambah kesepian yang terasa aneh, ditanya siapa antara sekitar 15 kanak-kanak di situ yang bekerja ladang, kecuali beberapa yang masih kecil, Khaled dan lainnya mengangkat tangan sambil berebut menyebut, “Aku! Aku!”. Dan itu adalah kenyataan sangat melukakan.

EduDream

Abdullah Reminds us that: Somewhere in the world, an orphan like him searched the garbage dumb or clothes and shoes to wear. You can help

Read More